FEEL SO BLESSED BY ALLAH

ALLAH awards me with so much blessings ; there are no words to describe HIS GIFTS to me. Every second of my life, every beat of my heart, from the day I was born till now ; I have been blessed. I read Surah ArRahman many times; and feel blessed even more. I want Islam to be the only way of life for me; there is no other Creator than ALLAH THE ALMIGHTY; Muhammad (PBUH) is my Prophet; ALQuran as my guide. YET, HAVE I DONE ENOUGH TO SHOW MY GRATITUDE TO ALLAH ALMIGHTY FOR ALL HIS BLESSINGS?

Thursday, July 9, 2009

Penulisan refleksi yang cemerlang

Saya telah habis melakukan lawatan pra penyeliaan kepada kesemua (10 orang) pelatih yang berada dalam bimbingan saya. Tahniah kerana anda semua telah memastikan rekod dan dokumentasi dikemaskini. Itu yang paling penting ; memastikan semua dokumentasi yang perlu dilengkapkan sentiasa lengkap setiap hari (log harian, jurnal mingguan, folder major dan folder umum disamping buku rekod mengajar untuk minor). Semua rekod berkenaan tidak boleh dipadamkan (diblanco, ditampalkan dengan helaian lain atau dipinda ) kerana semuanya adalah dokumen rasmi yang tidak boleh dipinda sesuka hati. Begitu juga dengan lokasi semua dokumentasi berkenaan; mesti berada di bilik UBK anda setiap masa.
Rata-ratanya, semua yang telah saya semak menunjukkan kesungguhan anda untuk cuba melakukan yang terbaik. Walau bagaimanapun, tentunya banyak kekurangan serta lompang yang perlu anda lengkapkan. Penulisan refleksi perlu dibuat secara ilmiah, ditulis dengan bahasa akademik, serta tulisan tangan anda mesti boleh dibaca (kemas dan teliti). Penceritaan atau pengkisahan aktiviti sahaja bukanlah refleksi yang baik. Ia tidak bermakna sekiranya anda tidak melakukan refleksi kendiri yang mendalam, terperinci dan berfokus. Maksudnya, anda perlu mengaitkan kisah atau cerita anda mengenai aktiviti, program, kegiatan, sesi dengan proses pembelajaran dalam diri anda. Senaraikan dengan jelas (tajuk mesti ada) untuk kekuatan anda dan kekurangan anda bila menjalankan aktiviti, program, sesi atau semasa anda berhadapan dengan satu situasi, orang atau isu dan permasalahan. Kemudian, sila kaitkan kekuatan dan kekurangan anda dengan proses pembelajaran yang berlangsung kepada DIRI ANDA sebagai guru pelatih bimbingan dan kaunseling. Apakah impak atau kesan (yang terhasil daripada kekuatan atau kekurangan diri anda) kepada persediaan diri sebagai guru bimbingan? Apakah relevansi / kaitan isu/permasalahan atau perasaan dan pemikiran anda (yang anda kesan dalam senarai kekuatan dan kekurangan tadi) kepada keseluruhan proses pembelajaran anda? Anda belajar dan belajar sebenarnya setiap detik sepanjang tempoh praktikum. Perasaan yang anda tulis tidak membawa makna yang signifikan sekiranya anda hanya mencatat tetapi tidak mengulas kesannya kepada keseluruhan proses yang sedang berlaku dalam diri anda sendiri. Refleksi harian mesti ditulis dengan hati-hati; bahasa anda perlu bersantun dan usah menyalahkan orang lain , situasi yang berlaku atau keadaan persekitaran anda kerana anda sebenarnya TIDAK belajar apa-apa pun sekiranya meletakkan kelemahan, kekurangan atau kesilapan orang lain dalam proses yang sedang berlaku. Anda yang sedang belajar, anda yang sedang cuba merungkai segala kekeliruan dalam diri sendiri dan anda yang sedang mengenal pasti kekuatan diri untuk dijadikan potensi menjadi guru bimbingan yang cemerlang di masa akan datang.
Tidak mudah memisahkan perasaan dan kekalutan dalam emosi dengan keterbukaan menyemak diri anda sendiri. Pedulikan cabaran dan kekangan daripada persekitaran; jadikan semua itu sebagai batu loncatan atau catalyst untuk anda mencari strategi dan teknik adaptasi dan akomodasi yang paling sesuai. Usah harapkan persekitaran sekolah akan menyesuaikan dengan kehendak dan tuntutan anda; sangat mustahil. Jadi, apa yang boleh anda lakukan? Sebagai murid baru belajar, anda carilah strategi dan teknik menyesuaikan diri dengan persekitaran agar mudah proses pembelajaran anda berjalan. Sekolah dimana anda ditempatkan adalah universiti sebenar anda untuk belajar mengenali orang lain (sudah tentu ada warna warni dalam personaliti mereka) dan unsur-unsur yang melengkapkan satu organisasi sekolah. Carilah yang positif di sebalik kesukaran dan cabaran; carilah kemanisan di sebalik keperitan; hulurkan senyuman paling manis terutama kepada mereka yang terlupa untuk senyum kepada anda. Anda perlu cari tenaga untuk menampung kepenatan fizikal anda, anda perlu muhasabah diri untuk menampung keperitan emosi anda dan paling penting sekali, anda perlu mencari bakat, potensi serta elemen-elemen keistimewaan dalam diri anda yang mampu mengubah segala impian menjadi kenyataan. Anda baru mulakan langkah perjuangan; usah tewas sebelum berjuang di gelanggang sebenar.
Teruskan muhasabah diri, tulis refleksi yang berilmiah dan padat intisari kandungannya dan tenangkan emosi anda agar anda melangkah lebih cemerlang. Pastikan anda berkerjasama dengan guru pembimbing (saya pasti mereka sudi membantu anda sekiranya anda menunjukkan kesungguhan anda untuk sudi dibantu) serta dengan semua orang di sekolah (termasuklah yang menunjukkan reaksi kurang positif dengan kehadiran anda).
Saya doakan anda agar mampu mengharungi semua ini dengan penuh kebijaksanaan, penuh adab dan cukup selesa. Ceria selalu !

1 comment:

Cikgu said...

salam. apa saja kita buat perlulah bijaksana mahupun daripada segi penulisan dan komunikasi.