Saya rasa sangat berbahagia saat ini kerana baru sebentar tadi dapat bersolat jemaah dengan puteri-puteri KPLI yang sedang transit di Surau An Nur (surau institut kami) sementara menantikan kuliah jam 2 petang. Biasanya,tengahari Jumaat, saya keseorangan kerana guru-guru pelatih lelaki bersolat Jumaat di Masjid Sembulan. Terima kasih kepada Tazkiyah (maaf, kalau silap) yang sudi mengimami kami. Sudah setahun lebih, saya berusaha untuk menggunakan waktu rehat terutamanya hari Jumaat, penghulu segala hari ini, beriktikaf (betul ke istilahnya?)di surau. Ada kalanya balik ke rumah tetapi kadang kala rasa terburu-buru pula. Satu ketika dahulu, saya gemar juga ikut kawan-kawan shopping kerana waktu rehat hari Jumaat lama sedikit. Tetapi, lama kelamaan, kebiasaan itu bukan lagi jadi kegemaran dan keutamaan saya. Sekarang, kalau terpaksa bertugas luar kawasan (selalunya terpaksa ambil flight tengahari Jumaat) , terasa rugi dan gusar di hati. Mungkin, saya sudah tua atau mungkin sudah tiada lagi barangan di shopping complex yang dapat menambat hati ini. Barang-barang keperluan dapur pun saya beli di kedai runcit dekat kawasan perumahan saya. Dulu, saya tak berapa faham kenapa ada negeri-negeri yang mengambil cuti Jumaat (bukan Ahad) untuk hujung minggu tetapi bila usia meningkat dan bertambah sedikit ilmu serta keinsafan, saya amat mengerti. Jumaat adalah penghulu hari bagi setiap orang Islam. Banyakkan berdoa, membaca Al Quran, berzikir serta berselawat di hari ini; mudah-mudahan diangkat doa, diterima amalan dan dirahmati Allah. Masa-masa yang afdal ialah masa-masa solat Jumaat ; dalam lingkungan waktu zohor. Jom, kawan-kawan dan adik-adik , marilah kita ambil kesempatan ini; kita bukan muda lagi, kita rebut masa yang indah ini untuk dapat keberkatan ALLAH.
NOTA : Untuk puteri-puteri KPLI yang saya jumpa tadi di surau, maaflah tak dapat menjamu kamu hari ini. Puan mu ini sudah lama menjadikan oats sebagai makanan rujinya. Mudah-mudahan ada kesempatan kita berjamu selera satu hari nanti.
Nostalgia.....Selamat Aidil Adha....2010
10 years ago
No comments:
Post a Comment