Saya bercadang untuk memulakan siri penyeliaan fasa pertama hari ini tetapi hujan lebat yang turun seawal jam 6.30 pagi membantutkan perjalanan saya. Saya mula bersin berkali-kali dan walaupun tidak selsema, saya memikirkan bahawa lebih baik saya duduk di dalam pejabat saya hari ini. Saya mahu menjaga diri dengan tidak mendedahkan kepada persekitaran di luar , mudah-mudahan antibodi saya dapat kembali kuat dan pulih untuk menanggani keadaan cuaca yang panas sejuk serta angin yang begitu kencang di luar sana. Walaupun begitu, saya bersyukur kepada ALLAH kerana menurunkan hujan yang begitu lebat pagi ini serta angin yang kencang, moga-moga hujan yang diturunkan akan membersihkan jangkitan virus yang sedang beredar begitu drastik di udara kita. Petang semalam, Cikgu Fatimah (Mak Ngah) memberitahu bahawa rumahnya dan rumah ibunya di Batu Berendam dinaiki air kerana hujan yang begitu lebat. Kalua saya ada di Melaka, tentunya bolehlah saya bantu membersihkan rumah.
Saya sedang cuba mengumpulkan kekuatan fizikal, emosi dan mental saya sebelum melakukan penyeliaan. Sebenarnya, emosi agak terganggu kerana beberapa pelajar saya membuat panggilan telefon memberitahu mereka mempunyai program lain yang tidak memberikan ruang untuk saya melakukan penyeliaan. Sedikit kecewa kerana saya sudah beritahu semenjak Pra Penyeliaan (3 minggu lepas) bahawa Penyeliaan Pertama akan dibuat minggu ini. Pelajar yang perihatin sudah tentu berupaya mengatur perancangan program lain pada masa dan ketika yang sesuai untuk mengizinkan saya menyelia mereka. Tapi, mungkin juga saya sedikit sensitif akibat fizikal yang tidak begitu sihat, tidak juga sakit tetapi tidak begitu kuat untuk menanggani tekanan begitu. Saya perlu habiskan penyeliaan pertama minggu ini supaya ada ruang untuk pelajar-pelajar saya bersedia memperbaiki apa yang sepatutnya pada penyeliaan kedua sebelum cuti semester nanti.
Tambahan kepada aspek penyeliaan :
Sesi kaunseling yang dilaporkan dalam bentuk rakaman (jika perlu), transkrip dan laporan sesi. Ramai yang mengeluh bila perlu menyiapkan transkrip sesi. Saya sudah tekankan hanya perlu seorang klien individu, cukuplah tiga transkrip dan tiga laporan setara. Tiada kerja yang mudah, saya juga telah melalui keperitan menulis transkrip. Itulah sebabnya saya tidak mahu anda semua (pelajar-pelajar) saya melakukan sesi kaunseling dengan begitu banyak klien sehinggakan anda terlupa, terlalai atau terlalu sibuk sehinggakan tidak dapat menulis transkrip yang baik. Setiap column transkrip mesti dilengkapkan; terutamanya ruang kemahiran kaunselor; usah pula mencatat kemahiran klien; bukankan anda sebagai kaunselor yang dinilai kemahiran kaunseling; bukannya klien!
Sesi kaunseling kelompok pula tidak perlu transkrip tetapi penyelia anda mesti dapat mengikuti salah satu sesi kelompok secara langsung. Walau bagaimanapun, saya tentunya akan memberikan markah tambahan jika anda dapat menyediakan sekurang-kurangnya transkrip sesi kaunseling kelompok.
Secara peribadi, saya merasakan bahawa terlalu banyak fokus diberikan kepada program bimbingan. Mungkin anda semua tidak dapat mengelakkan diri kerana diarahkan oleh pihak sekolah. Tidak mengapa menyumbangkan tenaga dan bantuan tetapi perlulah dipastikan core business sebagai guru pelatih tidak terjejas. Penulisan rekod mestilah sentiasa up to date dan ditulis dengan begitu teliti dan tulisan serta catatan yang terperinci dan komprehensif tetapi selektif (janganlah memasukkan unsur-unsur sentimen yang boleh menjejaskan hubungan dengan pihak lain) . Refleksi harian serta jurnal mingguan mestilah berfokuskan kepada penelitian kepada diri anda, setakat mana insiden atau kejadian (apa sahaja yang dilakukan atau telah berlaku) menyumbang kepada proses pembelajaran anda.
Saya belum sempat memantau kesemua pelajar saya (terutama yang bukan di bawah penyeliaan saya) tetapi saya yakin anda semua akan perihatin kepada input yang saya sampaikan di blog ini. Mungkin agaknya semua faham dan serba tahu kerana hanya beberapa orang sahaja yang menulis pesanan ringkas, menulis email serta memanggil saya melalui telefon untuk bertanyakan beberapa isu atau perkara, Saya andaikan sekiranya anda tidak bertanya, maksudnya anda jelas apa yang perlu dibuat. Janganlah sampai akhir praktikum masih disebut ayat: " saya masih blur lagi apa perlu dibuat...."
Satu aspek yang penting ialah kemahiran anda untuk mengadaptasi dengan organisasi sekolah. Maksudnya, sejauh manakah anda diterima oleh warga sekolah sepanjang anda menjalani praktikum? Manusia berbeza, anda melihat, anda memerhati, anda nampak banyak perkara di sekolah yang tak sepatutnya dilakukan, anda nampak perkara-perkara yang tidak merangsang kepada proses pembelajaran anda sebagai guru permulaan. Tetapi, anda hanyalah menjalani latihan praktikum yang begitu singkat; elakkan diri daripada terperangkap dalam kontroversi atau ketidakselesaan dengan pihak sekolah. Sebagai budak baru belajar, tunjukkan kesantunan anda yang tinggi arasnya, kesabaran melihat keadaan yang anda fikir boleh diperbetulkan serta kekuatan mencari sesuatu yang positif di sebalik segala cabaran dan dilemma. Pasti boleh sekiranya anda merendah diri dan blend dalam kumpulan guru-guru yang sedia ada di sekolah itu. Carilah mutiara yang terselit dan berlian yang tersembunyi di sebalik kerang busuk yang anda nampak dan temui. Tentunya ada sekiranya anda benar-benar mencari dan membukan pintu hati dan kota fikiran anda; tentu anda temui the unsung heroes, guru-guru yang berjiwa mulia dan berhati waja, yang menabur bakti tanpa batasan.
Saya telah menulis begitu panjang lebar dalam blog saya dan saya telah sebutkan dari awal praktikum ,anda perlu membaca blog ini untuk mengikuti perkembangan terkini. Saya tahu ramai yang membaca tetapi ada juga yang tidak mencari masa untuk membacanya.
Saya doakan anda menjadi bertambah bahagia dengan kerjaya pilihan anda ini.